About

BOLEH JADI KAMU MEMBENCI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BAIK BAGIMU, DAN BOLEH JADI (PULA) KAMU MENYUKAI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BURUK BAGIMU, ALLAH MENGETAHUI, SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUI.................[SURAH AL-BAQARAH:216]

Sunday 8 May 2011

Penawar Marah

Marah merupakan salah satu sifat emosi selain daripada gembira, sedih dan lain-lain. Sifat marah ini wujud bersama dalam perasaan diri manusia itu sendiri sama ada lelaki atau perempuan. Cuma membezakannya bagaimana seseorang itu mengawal tahap kemarahannya. Terdapat sesetengah individu yang menyimpan kemarahan mereka di dalam hati agar tidak menyakiti orang lain tetapi cara begini akan membahayakan diri mereka sendiri. Tedapat sesetengah individu pula, yang memiliki sifat marah sejak azali lagi. Mereka ini sememangnya memiliki sifat marah yang tidak terkawal sehingga menjadi panas baran. Sifat panas baran ini boleh dikategorikan peringkat yang paling teruk.



Sifat panas baran ini tiada siapa yang boleh mengubahnya melainkan diri mereka sendiri yang ingin mengawal dan mengubahnya, jika ada individu syang ingin membantu untuk mengubahnya, mereka perlu bertawakal dan berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Kemarahan boleh berlaku disebabkan oleh minda yang mungkin di belenggu dengan banyak masalah sehingga tidak berjaya mengawal emosi sendiri. Pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya kemarahan seperti seseorang itu marah disebabkan keinginannya tidak dipenuhi, berbeza pendapat, melakukan kesalahan sehingga menyebabkan pihak yang satu lagi berasa marah, ditegur atau dikritik dan lain-lain. Sifat marah ini boleh menjejaskan kesihatan seseorang, jika tidak dikawal dengan sebaiknya boleh menyebabkan sakit kepala, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan lain-lain.


Sabda Rasulullah S.A. W yang bermaksud:


“Tidak dikategorikan sebagai orang yang kuat dengan beradu tenaga dan kekuatan, tetapi orang yang kuat ialah mereka yang mampu memadamkan api kemarahannya ketika dia marah.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)




Berikut merupakan beberapa penawar bagi mengatasi kemarahan:





1. Mengingati Allah S.W.T



Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.”

(Surah Ar-Raad: 28)



Jika kita dalam keadaan marah, maka hendaklah kita beristighfar dan berzikir bagi meredakan kemarahan tersebut. Dengan mengingati Allah S.W.T hati akan menjadi tenang, dengan beristighfar dan berzikir kita dapat menghindarkan diri daripada hasutan syaitan yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia.




2. Mengucap Isti’azah (A’uzubillah)


Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika dua lelaki bertengkar di sisi Rasulullah S.A.W. Salah seorang yang merah mukanya mencela seorang lagi dengan penuh kemarahan. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:


“Sesungguhnya aku akan mengajar kamu satu kalimah yang jika dibacakannya akan hilang kemarahannya, iaitu bacaan

(أعوذ بالله من الشيطان الرجيم).”




Ucapan isti’azah ini mestilah dilakukan dengan penuh rasa kebergantungan kepada Allah S.W.T dan memohon bantuannya daripada syaitan dan konco-kunconya yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia. Hal ini selaras dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:



“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

(Surah al-A'raf: 200-201)


3. Ubah posisi ke posisi yang lebih rendah


Jika seseorang marah dlm keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika marah dlm keadaan duduk, hendaklah dia berbaring dan seterusnya bagi posisi yang lain. Hal ini dapat mengurangkan kemarahan yang melanda diri. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:


“Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak maka hendaklah ia berbaring.”

(Riwayat Muslim)


4. Berwuduk


“Sesungguhnya marah itu datang daripada syaitan sedangkan syaitan itu berasal daripada api. Sesungguhnya api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamu merasa marah hendaklah ia berwuduk.”

(Riwayat Abu Daud)



5. Mendiamkan diri


Mendiamkan diri merupakan penawar yang mujarab bagi menghilangkan kemarahan. Apabila kita mendiamkan diri, ia memberi ruang kepada kita untuk berfikir sejenak dan membuat pertimbangan berdasarkan akal fikiran yang rasional tanpa dipengaruhi emosi Jika seseorang itu melahirkan kemarahan dengan kata-kata nista ia akan mengundang padah yang lebih parah. Emosi akan menguasai diri, syaitan akan mencelah dan memainkan peranan yang membawa kepada perseteruan yang berpanjangan.


Jika kemarahan melibatkan dua pihak, maka pihak yang satu lagi hendaklah diam. Kebiasaanya apabila satu pihak diam tanpa membidas/ melawan/mempersoalkan perkara yang menjadi kemarahan pihak yang satu lagi. Kemarahan tersebut akan terhenti di situ sahaja tanpa berlarutan.



6. Jika anda merupakan seseorang yang mempunyai sifat marah/panas baran, amalkan membaca doa ini. Moga dapat mengawal kemarahan anda. Insya_Allah.


Ertinya: “Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk. Ya Allah, ampunilah dosaku dan hilangkanlah kepanasan hatiku dan lepaskanlah aku dari gangguan syaitan yang terkutuk.”




Sifat marah adalah anasir yang boleh merosakkan akhlak dan berpotensi mencalarkan maruah seseorang. Pernah disebut seseorang kepada Abdullah Bin Mubarak (ulama tabiin): “Dapatkah tuan memberikan sesuatu yang boleh membentuk kesempurnaan akhlak? Maka beliau menjawab: Kawal kemarahanmu kerana ia adalah wasiat Baginda S.A.W. Baginda didatangi seseorang dengan soalan yang sama, maka jawab Baginda S.A.W:

“Janganlah kamu marah (sebanyak tiga kali).”

(Riwayat Bukhari)



Ada juga perawi hadis menambahkan, setiap kemarahan akan diiringi dengan setiap jenis kejahatan dan akan melemahkan akal fikiran manusia hingga sanggup berkata dusta serta melakukan perkara di luar peradaban manusia.


Rasulullah S.A.W pernah berdoa yang bermaksud:

“Ya Allah, aku memohon kata-kata benar ketika aku sedang marah.”

(Riwayat Nasai’)



Ada kala manusia boleh kehilangan segala-galanya disebabkan sifat marah. Jabir bin Abullah berkata: “Kami pernah berjalan bersama Baginda S.A.W bersama seekor unta lalu berkatalah seseorang kepada unta itu: Laknat ke atasmu, lalu didengar oleh Baginda S.A.W. Lalu Baginda S.A.W menjawab:
“Siapakah orang yang melaknat untanya sila pergi dari sini kerana perbuatannya itu akan menjauhkan dirinya daripada rahmat Allah dan doanya tidak akan dimakbulkan ketika ia marah.”
(Riwayat Muslim)



Hal ini menunjukkan doa orang yang sedang marah akan ditolak Allah S.W.T.





Orang yang sabar disayangi Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“.....Dan Allah mengasihi orang yang sabar.”

(Surah Ali-‘Imran:146)



Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sabar itu separuh daripada iman.”

(Riwayat Abu Na’im)






*Please don’t be angry. No matter what happen, you must be patient*









"Ceriakan Dirimu Dengan Senyuman"


⎝⏠⏝⏠⎠MeL Az-ZaHRa⎝⏠⏝⏠⎠



















No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...