About

BOLEH JADI KAMU MEMBENCI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BAIK BAGIMU, DAN BOLEH JADI (PULA) KAMU MENYUKAI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BURUK BAGIMU, ALLAH MENGETAHUI, SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUI.................[SURAH AL-BAQARAH:216]

Thursday 24 June 2010

Cinta dan Dicintai

Perasaan cinta, kasih dan sayang memang wujud dalam diri manusia. Sudah menjadi fitrah manusia ingin mencintai dan dicintai, hidup berpasangan seperti Adam dan Hawa. Perasaan cinta, kasih dan sayang antara seorang lelaki dan seorang wanita perlulah berlandaskan syariat dan mendapat keredhaan ALLAH S.W.T. Cinta kepada manusia adalah anugerah daripada ALLAH S.W.T yang harus dibajai dengan rasa penuh syukur kepadaNYA, mengikut syariat yang telah ditetapkan seperti menjaga aurat, menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan wanita dan lain-lain seperti yang telah digariskan dalam Islam.


Sebagai seorang manusia, yang mempunyai fitrah untuk mencintai dan dicintai, kita perlu bangga mencintai seseorang, baik dan buruknya kita terima dengan redha. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Berbeza dengan pengorbanan, jika kita mencintai seseorang dan sanggup berkorban apa sahaja yang tidak melanggar syariat biasanya, kita akan mengharapkan balasan daripada orang yang kita cintai, tetapi jika kita menyintai seseorang dengan penuh rasa bangga, kita tidak akan mengharapkan balasan daripada orang yang dicintai. Itulah beza antara kebanggaan dan pengorbanan dalam mencintai seseorang.


Menurut Islam, perasaan cinta antara lelaki dan perempuan, untuk menjadikan pasangan yang halal di sisi Islam adalah melalui perkahwinan. Perkahwinan menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita dan mendapat keredhaan daripada ALLAH S.W.T selain dapat menghindari daripada godaan syaitan yang mahu menyesatkan golongan manusia. Namun, sebelum melangsungkan perkahwinan, lelaki atau perempuan yang bakal menjadi suami atau isteri perlu mengetahui tanggungjawab masing-masing agar mahligai yang dibina berkekalan dan bahagia di dunia dan akhirat. Setiap pasangan perlu mempunyai ilmu yang mencukupi dalam melayari bahtera rumahtangga.


Jika berlaku perselisihan pendapat, suami isteri perlu berbincang sebelum mengambil keputusan. Si suami perlu mendengar pandangan/pendapat si isteri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika si isteri melakukan kesilapan, si suami perlulah menegur si isteri dengan cara yang berhikmah (seperti menegur dengan lemah lembut bukan marah-marah atau mengikut emosi semata-mata) begitulah juga sebaliknya, jika si suami melakukan kesilapan si isteri perlulah menegur si suami dengan cara yang baik dan berhikmah. Ingat, bahawa suami adalah pemimpin dalam rumahtangga, suami wajib membimbing dan mendidik isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah S.W.T.


Selagi mengamalkan ajaran agama Islam dalam kehidupan rumahtangga iaitu melakukan yang baik dan meninggalkan keburukan (amar makruf nahi mungkar), Insya_ALLAH, mahligai yang dibina akan berkekalan dan bahagia di dunia dan akhirat. Perasaan cinta antara suami dan isteri tidak akan pudar malah semakin hari semakin bertambah, tetapi cinta yang hakiki adalah cinta kepada ALLAH S.W.T.










No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...