About

BOLEH JADI KAMU MEMBENCI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BAIK BAGIMU, DAN BOLEH JADI (PULA) KAMU MENYUKAI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BURUK BAGIMU, ALLAH MENGETAHUI, SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUI.................[SURAH AL-BAQARAH:216]

Friday 21 August 2009

Produk-produk Perbankan Islam

Prinsip dalam Fiqh Mualamat digunakan dalam operasi perbankan Islam. Penggunaan istilah fiqh yang asal seperti Mudharabah (perkongsian untung), Musyarakah (usahasama), Wadiah (simpanan), Murabahah (kos tokok), dan Ijarah (sewaan). Penggunaan istilah fiqh yang disesuaikan dengan situasi semasa seperti Bay Bithaman Ajil dan Ijarah Thumma al-Bay. Terdapat 2 kategori utama produk perbankan Islam iaitu produk simpanan dan produk pembiayaan. Produk pembiayaan meliputi pembiayaan ekuiti (Perkongsian) dan pembiayaan hutang (Jual beli).

Produk simpanan yang dikeluarkan oleh perbankan Islam berasaskan konsep al-Wadiah Yad Dhamanah iaitu produk perbankan bagi akaun simpanan dan akaun semasa. Al-Wadiah merupakan satu kontrak yang berdasarkan konsep amanah atau jaminan. Kontrak ini menjelaskan di mana satu pihak boleh memegang harta pihak yang lain atas dasar amanah. Pemegang amanah iaitu pihak bank boleh menggunakan atau tidak menggunakan barang amanah yang telah di amanahkan oleh pihak pemberi amanah iaitu pelanggan kepada pihak bank. Kebiasaannya pihak bank akan menggunakan simpanan pelanggan sama ada dalam akaun simpanan atau akaun semasa untuk tujuan pelaburan yang dibenarkan oleh syarak. Hasil daripada pelaburan berkenaan adalah terpulang kepada pihak bank sama ada untuk memberi komisen kepada pelanggannya atau tidak.

Seterusnya, produk simpanan bagi akaun simpanan pelaburan yang berasaskan konsep al-Mudharabah. Al-Mudharabah adalah satu kontrak yang berasaskan konsep perkongsian untung antara pemodal dengan pengusaha di mana dalam kontrak ini pemodal dan pengusaha akan berkongsi keuntungan perniagaan. Kaedah ini merupakan satu kaedah melibatkan pembiayaan yang dalam hal ini satu pihak membekalkan modal dan satu pihak yang lain sebagai pengusaha. Keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan tersebut akan dibahagikan antara pemodal dan pengusaha tersebut. Pihak pelanggan yang menyimpan wang mereka dalam akaun simpanan pelaburan dan pihak bank akan melaburkan wang mereka dalam pelaburan yang dibenarkan oleh syarak. Hasil daripada pelaburan tersebut akan dibahagikan antara pihak bank dengan pelanggan.

Kategori kedua bagi produk perbankan Islam ialah produk pembiayaan. Produk pembiayaan terdiri daripada 2 jenis iaitu pembiayaan ekuiti (Perkongsian) dan pembiayaan hutang (Jual beli). Kedua-dua bentuk pembiayaan ini amat penting dalam menggemblengkan sesuatu sistem kewangan. Sistem ekonomi konvensional yang diamalkan di Malaysia hari ini, pembiayaan ekuiti dilakukan melalui pengeluaran syer atau saham yang berkemungkinan memberikan hasil dalam bentuk keuntungan atau dividen. Manakala pembiayaan hutang pula dilakukan melalui pinjaman yang berasaskan faedah atau interest.

Islam mempunyai norma dan peraturannya yang tersendiri bagi memenuhi kehendak manusia terhadap pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang. Bagi pembiayaan ekuiti, Islam menghalalkan kontrak-kontrak perkongsian untung (profit sharing contracts) yang utama dalam Islam iaitu al-Mudharabah dan al-Musyarakah. Al-Mudharabah ialah ialah pengeluaran syer atau saham yang mempunyai hak mengurus atau mengundi dalam sesuatu projek. Kontrak-kontrak ini mempunyai asas-asas secara langsung daripada al-Quran dan al-Sunnah. Pembiayaan hutang pula, Islam menghalalkan kontrak-kontrak pertukaran (’uqud al-mu’awadat atau contracts of exchange) yang melibatkan pembayaran bertangguh (deferred payments).

Terdapat banyak bentuk kontrak-kontrak pertukaran ini di antaranya ialah al-Bay’ Bithaman Ajil (jualan harga tertangguh), Bay’ al-Murabahah (jualan dengan tambahan untung), al-Ijarah(sewaan), bay’ al-Inah, al-Qard al-Hasan (pinjaman kebajikan) dan sebagainya. Namun terdapat segolongan umat Islam di dunia hari ini terutamanya yang berada di Timur Tengah kurang menerima amalan pembiayaan hutang dalam sistem kewangan dan perbankan. Golongan ini menganggap bahawa operasi pembiayaan hutang hampir sama dengan operasi riba yang jelas diharamkan oleh Allah S.W.T. Golongan ini juga mendakwa bahawa pembiayaan hutang menggunakan al-Bay’ dalam produknya sebagai label untuk menipu pandangan masyarakat awam terhadap operasinya. Golongan ini juga berpandangan bahawa pembiayaan ekuiti merupakan pembiayaan yang lebih bertepatan dengan syariah Islam jika dibandingkan dengan pembiayaan hutang. Namun demikian, BIMB lebih banyak menggunkan kontrak pembiayaan hutang berbanding pembiayaan ekuiti. Begitu juga bank-bank konvensional yang terlibat dalam SPI di Malaysia banyak menggunakan kontrak pembiayaan hutang dalam pembiayaannya.

Namun demikian, produk-produk pembiayaan yang ditawarkan oleh perbankan Islam meliputi pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang. Pembiayaan ekuiti dalam perbankan Islam adalah berasaskan kepada perkongsian untung (profit sharing contracts) iaitu menggunakan konsep al-Mudharabah dan al-Musyarakah. Al-Mudharabah ialah satu kontrak yang berasaskan konsep perkongsian untung antara pemodal dengan pengusaha di mana dalam kontrak ini pemodal dan pengusaha akan berkongsi keuntungan atau kerugian perniagaan. Kaedah ini merupakan satu kaedah melibatkan pembiayaan yang dalam hal ini satu pihak membekalkan modal dan satu pihak yang lain sebagai pengusaha. Keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan tersebut akan dibahagikan antara pemodal dan pengusaha tersebut. Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan ekuiti ini ialah pembiayaan projek, perkongsian unit amanah dan lain-lain.

Seterusnya, pembiayaan ekuiti berdasarkan konsep al-Musyarakah. Al-Musyarakah bermaksud bersekutu, berkongsi atau bersyarikat. Kontrak ini melibatkan kontrak perkongsian antara dua atau lebih pemilik modal dalam sesuatu perniagaan. Setiap pemilik modal akan memberikan sumbagan tertentu dan berkongsi keuntungan dan kerugian. Perkongsian ini di mana kedua-dua pihak menyumbangkan modal masing-maing. Keuntungan atau kerugian yang akan dialami daripada perniagaan yang dijalankan akan ditanggung bersama berdasarkan perjanjian yang telah disepakati antara pihak bank dan pelanggan. Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan ekuiti ini ialah pembiayaan projek, pengeluaran surat kredit, unit amanah, pembiayaan perumahan dan lain-lain.

Pembiayaan hutang pula melibatkan kontrak-kontrak pertukaran (’uqud al-mu’awadat atau contracts of exchange) yang melibatkan pembayaran bertangguh (deferred payments). Beberapa jenis kontrak pertukaran yang termasuk dalam pembiayaan hutang ialah Jualan Tunai (Bay’ al-Naqd) iaitu melibatkan pertukaran barangan secara percuma, Jualan Salam (Bay’ al-Salam) iaitu kontrak yang melibatkan barangan yang ditukarkan itu akan diserah pada masa hadapan manakala harga barangan dibayar secara tunai, Jualan Tempahan (Bay’ al-Istisna’) iaitu kontrak ini sama sahaja dengan Bay’ al-Salam di mana barangan yang menjadi tukaran itu akan dibuat dan diserahkan pada masa hadapan dan harga barangan dibayar segera, Sewaan (al-Ijarah) iaitu kontrak ini melibatkan pertukaran barangan dengan perkhidmatan barangan lain, Jualan dengan Harga Bertangguh (Bay’ Bithaman Ajil atau Bay’ Muajjal) (M.Umer Chapra 1991:136) iaitu kontrak yang melibatkan pertukaran barangan yang menjadikan tukaran itu diserahkan dengan segera dan harganya dibayar secara ansuran, Jualan dengan Tambahan Untung (Bay’al-Murabahah) iaitu kontrak ini sama dengan kontrak jualan harga bertangguh di mana kontrak ini merupakan lawan kepada jualan salam.

Bay’ al-Salam pula merupakan penjualan barang yang belum wujud semasa akad iaitu penjual tidak mengemukakan barang yang hendak dijual kepada pembeli semasa akad tetapi pembayaran harga barangan disegerakan. (Muhammad Kamal ’Atiyah 1992: 127). Dari sudut pembiayaan hutang, Bay’ al-Salam merupakan satu akad atau kontrak yang bertujuan untuk pembiayaan kewangan tetapi dilakukan dalam bentuk jual beli dan bukannya perkongsian. Kontrak ini terbentuk apabila pihak pembeli membuat pembayaran sepenuhnya kepada harga komoditi yang akan hanya diserahkan oleh pihak penjual pada satu tempoh yang ditetapkan pada masa hadapan (Mohd Daud 1997:217). Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan hutang jenis Bay’ al-Salam ialah pembiayaan projek.

Bay’ al-Istisna merupakan akad kontrak yang dibuat bagi membeli satu barang yang akan dibuat kemudian mengikut bentuk yang dikehendaki (Muhammad Kamal Atiyyah 1993:394). Kontrak Bay’ al-Istisna melibatkan penyerahan barang di masa hadapan tetapi metode pembayarannya lebih fleksibel. Pembayaran boleh dilakukan sebelum, semasa atau selepas penyerahan barang dan boleh dilakukan dengan mana-mana cara pembayaran yang telah dijelaskan (Mohd Daud Bakar 1997:219). Secara ringkasnya, Bay’ al-Istisna adalah satu kontrak jual beli di mana pembekal barangan seperti tukang atau pekilang diminta untuk menyediakan atau mengeluarkan sesuatu barangan dengan spesifikasi tertentu pada harga, tempat dan masa penyerahan barang tempahan yang dipersetujui bersama. Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan hutang jenis Bay’ al-Istisna ialah pembiayaan perumahan, bridging financing dan pembiayaan projek.

Konsep Al-Ijarah merupakan satu kontrak untuk memajak (lease contract) dan juga untuk menyewa (hire contract). Al-Ijarah dari aspek sistem kewangan Islam, merupakan kontrak di mana institusi kewangan atau bank memajakkan peralatan-peralatan atau barangnya kepada pelanggan dengan dikenakan sejumlah bayaran yang tetap (Nabil 1986:97). Jumhur ulama mengatakan bahawa al-Ijarah ini merupakan salah satu jenis al-Bay’ Li Manafi’ al-Asyya’ (jual beli manfaat sesuatu benda) (al-Qadir 1993 : 10).
Secara umumnya, sewaan atau al-Ijarah merupakan satu perjanjian memberi milik manfaat dengan bayaran. Melalui perjanjian ini, penyewa berhak menggunakan barang yang disewanya itu atau memberikan kepada orang lain menggunakannya mengikut syarat-syarat perjanjian yang telah dibuat antara penyewa dengan pihak yang memberi sewa ( Faizah 2000: 56). Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan hutang jenis al-Ijarah ialah pembiayaan perumahan, kontrak sewa beli, pajakan, pembiayaan projek, sukuk al-Ijarah dan pembiayaan penggunaan harta.

Bay' Bithaman Ajil (perjanjian jual beli balik) atau BBA merupakan konsep perbankan Islam yang digunakan dalam pembiayaan sewa beli atau pembelian insurans. Di bawah konsep ini, bank memberi pembiayaan kepada pelanggan untuk memiliki harta atau perkhidmatan dengan membeli aset kepunyaan pelanggan atau daripada 'vendor' dengan harga tunai dan kemudiannya menjual kembali aset tersebut kepada pelanggan dengan harga belian ditambah keuntungan.Pelanggan boleh membayar balik secara tangguh atau ansuran dan jumlah bayaran bergantung kepada jumlah kos belian yang terlibat ,risiko pembayaran,dan tempoh perjanjian.Kaedah BBA dianggap sebagai kaedah pembiayaan yang menggantikan kaedah pembiayaan berdasarkan pinjaman yang diamalkan oleh sistem perbankan konvensional.Bagi mengukuhkan lagi institusi kewangan yang berteraskan Islam di samping untuk menarik lebih ramai individu kearah sistem ini, produk-produk yang lebih berinovasi telah dihasilkan seperti produk pembiayaan kadar boleh ubah berasaskan konsep Bai Bithaman Ajil (jualan harga tertangguh) yang telah diperkenalkan pada tahun 2003 bagi mempelbagaikan portfolio pembiayaan institusi kewangan Islam daripada terlalu bergantung kepada pembiayaan kadar tetap.Ia juga dapat mengurangkan risiko berhubung ketakpadanan pendanaan.Malahan bagi melengkapkan mekanisme pembiayaan kadar terapung yang berkonsepkan Bai Bithaman Ajil (BBA), satu produk pembiayaan kadar boleh ubah berdasarkan konsep ijarah muntahia bittamleek (pajakan berakhir dengan hak milik ) sedang dikaji.Produk ini dimajukan bagi membantu sistem kewangan islam bersaing dari segi pemadanan kadar pembiayaan perbankan Islam dengan pembiayaan pasaran dalam konteks pasaran dwi-perbankan. Produk ini memberikan pulangan yang lebih munasabah kepada pendeposit dan seterusnya mengurangkan risiko ketakpadanan.Kebergantungan yang tinggi pada pembiayaan kadar tetap menyebabkan mekanisme lindung nilai bagi aset kewangan islam yang semakin berkembang, kurang diberikan di samping faktor terdedahnya pada kadar pembiayaan yang turun naik.Sebahagian besar pembiayaan ini meliputi pembiayaan rumah, hartanah, dan pembiayaan bertempoh jangka panjang.Pembiayaan kadar boleh ubah ini, harga jualan aset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh ditetapkan pada kadar keuntungan siling atau maksimum, yang kadarnya lebih tinggi daripada kadar pembiayaan tetap BBA. Justeru harga jualan kontrak dan ansurannya menjadi lebih tinggi.Walaubagaimanapun, rebat atau ibra`(pengecualian hak menuntut keuntungan belum diperoleh) diberikan pada setiap bayaran ansuran, misalnya pada setiap bulan, bagi mengurangkan ansuran bulanan supaya sepadan dengan kadar pasaran semasa.

Bay’ al-Murabahah mengikut seperti mana yang telah didefinisikan oleh al-Rawwas ialah penjualan harta yang dimiliki dengan harga kos yang ditanggung beserta dengan keuntungan (Wizarah al-Awqaf 140H: 83). Bay’ al-Murabahah ini merupakan satu urusniaga di mana kedua belah pihak saling redha meredhai ke atas harga yang ditetapkan. Secara ringkasnya, Bay’ al-Murabahah adalah jualan sesuatu barangan dengan harga kos dan dicampurkan dengan keuntungan yang diketahui oleh pihak yang berkontrak. Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan hutang jenis Bay’ al-Murabahah ialah pembiayaan perdagangan, pembiayaan modal kerja, overdraf, surat kredit, bil penerimaan Islam dan pembiayaan kredit eksport.

Bay’ al-Inah merupakan satu kontrak jual beli hutang-tunai iaitu apabila seseorang menjual barangan dengan harga bertangguh kepada sesuatu tempoh tertentu kemudian dia membelinya semula barangan tersebut secara tunai dengan harga yang lebih rendah daripada harga jualan bertangguh. Kontrak ini dilakukan bagi tujuan untuk mendapatkan keperluan wang tunai. Contoh produk perbankan yang menawarkan pembiayaan hutang jenis Bay’ al-Inah ialah kad kredit dan pembiayaan peribadi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...