Alhamdulillah, syukur ke hadrat ILLAHI kerana masih lagi memberi peluang kepadaku untuk bernafas di bumi Allah S.W.T ini, untuk terus menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini. Syukur kepadaMU ILLAHI kerana telah memanjangkan umurku untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Bulan Ramadhan, bulan yang sangat ku nanti-nantikan kehadirannya pada setiap tahun. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku bertemu dengannya pada tahun ini 1432H. Moga kesempatan yang diberikan oleh Allah S.W.T ini dapat aku gunakan dengan sebaik-baiknya. Moga kehadiranmu, Ramadhan memberi seribu pengertian dan sinar dalam hidupku. Tiada lain yang ku harapkan melainkan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T atas dosa-dosaku yang lalu, mengharapkan rahmatNYA dan keredhaanNYA sentiasa mengiringi di setiap langkah perjalanan kehidupanku. Moga Ramadhan ini, dapat mendidik jiwa hambaMU ini Ya Allah dengan sifat-sifat mahmudah, sabar dan tabah dengan setiap ujianMU dan sentiasa redha dengan segala takdir daripadaMU. Moga aku menjadi hambaMU yang selalu bertaqwa dan istiqamah dalam jalan menuju keredhaanMU.
Marilah kita sama-sama mengimarahkan lagi bulan Ramadhan ini, bulan yang penuh keberkatan. Jagalah ibadah puasa kita agar puasa kita diterima Allah S.W.T. Hindarilah segala perkara yang boleh mengurangkan pahala ibadah puasa kita, agar ibadah puasa kita bukan ibadah puasa yang sia-sia (hanya dapat rasa lapar dan dahaga). Berpuasalah sepertimana puasa para nabi. Imarahkan lagi bulan Ramadhan ini dengan banyak melakukan ibadah-ibadah sunat. Moga pahala yang kita peroleh kelak berlipat kali ganda dan ibadah puasa yang kita lakukan diterima Allah S.W.T.
Pada bulan ramadhan ini, saat-saat yang aku nantikan sepertimana umat Islam yang lain adalah bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Moga Allah S.W.T memperkenankan diriku untuk bertemu dengan malam tersebut. Memang sukar untuk bertemu dengan malam tersebut. Tetapi Insya_Allah, Allah S.W.T akan permudahkan segalanya untukku. Terdapat hadith yang menyatakan malam Lailatul Qadar itu berlaku pada 10 malam terakhir. Kita sebagai hamba Allah, sebaik-baiknya lakukanlah amal ibadah dari awal Ramadhan hingga akhir Ramadhan tanpa mengira-mengira atau menduga-duga akan bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Insya_Allah, kita akan bertemu dengan malam Lailatul Qadar tersebut, yang penting adalah keikhlasan dalam beribadah kepada Allah S.W.T. Moga segala amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah S.W.T dan mendapat keredhaan daripadaNYA.
"Ceriakan Dirimu Dengan Senyuman"
⎝⏠⏝⏠⎠MeL Az-ZaHRa⎝⏠⏝⏠⎠
7 comments:
Daripada Abu Hurairah r.a. , Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: Setiap amalan manusia itu untuknya kecuali puasa. Ia untuk Ku dan Aku yang memberi ganjarannya." (Riwayat al Bukhari dan Muslim)
"SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK"
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa..Moga sentiasa di bawah redhaNYA...
Selamat Menyambut Bulan Ramadan , .. bnyk kn beramal yaa Zahra .. :)
Selamat Berpuasa, moga amalan kita diterima oleh Allah S.W.T. =)
salam Ramadhan :)
Salam Ramadhan juga buat Firdaus...moga sentiasa berada di bawah rahmatNYA. =)
amin..!
tq zahra :) same jgk utk zahra...
Post a Comment