About

BOLEH JADI KAMU MEMBENCI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BAIK BAGIMU, DAN BOLEH JADI (PULA) KAMU MENYUKAI SESUATU, PADAHAL IA AMAT BURUK BAGIMU, ALLAH MENGETAHUI, SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUI.................[SURAH AL-BAQARAH:216]

Tuesday, 31 March 2015

BR1M

IDEA-IDEA PENAMBAHBAIKAN BR1M 5.0 - 2016




Pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) kepada golongan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah adalah satu usaha positif kerajaan walaupun terdapat tentangan daripada pelbagai pihak. BR1M yang mula diperkenalkan pada pembentangan Bajet 2012, merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Pada permulaan pemberian BR1M, sebanyak RM 250 diberikan kepada individu bujang yang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM 2000 sebulan dan RM 500 kepada golongan isi rumah yang berpendapatan kurang RM 3000 sebulan. Pada  tahun 2014, pemberian BR1M telah ditingkatkan daripada RM 250 kepada RM 300 bagi individu bujang dan RM 650 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM 3000 dan RM 450 kepada isi rumah yang berpendapatan di antara RM 3000 - RM 4000 sebulan beserta dengan perlindungan insurans takaful berkelompok rakyat satu Malaysia (i-BR1M). Terkini pada tahun 2015, BR1M 4.0 pemberian BR1M telah ditingkatkan, RM 350 diberikan kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM 2000 sebulan, RM 950 diberikan kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM 3000 sebulan dan RM 750 kepada isi rumah yang berpendapatan antara RM 3000 – RM 4000 sebulan  beserta perlindungan insurans takaful berkelompok rakyat satu Malaysia (i-BR1M). Pemberian BR1M bagi isi rumah diberikan secara berperingkat suku tahunan.

Dipetik daripada kata-kata YAB. Dato' Seri Najib Tun Razak:

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan adalah selaras dengan syariat Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sambil memetik sepotong hadith, Dato' Seri Najib berkata Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan yang ditanggung orang lain termasuk melunaskan beban hutang.

"Seorang sahabat Rasulullah S.A.W pernah bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah.
Jawab Rasulullah S.A.W manusia yang paling dicintai ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain dengan melunas hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di masjid.

"Saya tahu ada orang yang bayar hutang apabila mendapat bantuan BR1M ini, kita tolong orang lunas hutang, besar pahala yang kita dapat," katanya.

                                                                                                 (Dipetik daripada klik sini)

Walaubagaimanapun, pemberian BR1M ini juga ada pro dan kontranya kepada kerajaan, rakyat dan ekonomi negara Malaysia. Wang BR1M yang diberikan kerajaan menyebabkan orang ramai akan berbelanja lebih. Para peniaga mendapat lebih keuntungan hasil daripada perbelanjaan individu dan isi rumah. Keuntungan tersebut akan dicukai oleh kerajaan. Maka secara asasnya kerajaan akan mendapat kembali wang BR1M tersebut tetapi untuk tahun tersebut sahaja dan untuk KDNK bagi tahun semasa sahaja bukan untuk kelangsungan pendapatan bagi jangkamasa panjang. Bagi mengelakkan pemberian BR1M ini habis dibelanjakan dalam sekelip mata tanpa ada usaha untuk menjadikan pemberian BR1M yang diberikan oleh kerajaan ini sebagai salah satu usaha yang mendatangkan hasil pendapatan yang berpanjangan kepada golongan penerima BR1M ini. Maka, usaha-usaha penambahbaikan pemberian BR1M ini perlu dilakukan bagi memastikan pemberian BR1M yang akan datang BR1M 5.0 pada tahun 2016 dapat disalurkan secara teratur, efektif dan efisyen kepada golongan yang berhak dan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan negara selaras dengan dasar kerajaan bagi mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan menjadikan negara Malaysia sebagai salah satu negara yang berpendapatan tinggi di dunia.

Antara usaha-usaha penambahbaikan pemberian BR1M yang boleh dilakukan adalah BR1M diberi dalam bentuk unit saham pelaburan Amanah Saham Bumiputera kepada rakyat berpendapatan rendah atau golongan yang berhak menerima BR1M ini. Pemberian BR1M boleh diberikan terus melalui pembelian unit saham pelaburan Amanah Saham Bumiputera. Penerima BR1M dalam bentuk unit saham pelaburan tidak dibenarkan untuk mengeluarkan wang tersebut sehingga tempoh matang. Apabila tempoh matang, agihan pendapatan hasil daripada pelaburan unit saham bumiputera akan meningkatkan pendapatan golongan penerima BR1M hasil daripada pelaburan yang dilakukan. Malah, kerajaan juga memperoleh pendapatan hasil daripada pelaburan penerima BR1M ini dalam ASB, di mana pelaburan merupakan suntikan dalam mengerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Manakala, bagi golongan  bukan bumiputera, pemberian BR1M boleh dilakukan melalui akaun pelaburan bank-bank berkenaan seperti Maybank, Bank Rakyat, Khazanah Nasional dan insituti-institusi pelaburan lain yang memberikan impak pulangan pendapatan yang tinggi.

Selain itu, pemberian BR1M juga boleh diberikan dalam bentuk geran usahawan kepada golongan penerima BR1M. Pemberian geran ini secara tidak langsung menggalakkan individu-individu bujang menceburi bidang keusahawanan dalam pelbagai sektor ekonomi negara seperti industri makanan, pakaian, pengilangan, pertanian, pelancongan, industri kecil dan sederhana dan lain-lain. Hal ini secara tidak langsung dapat melahirkan usahawan-usahawan yang kreatif, inovatif dan berdaya saing dengan individu lain. Begitu juga dengan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM 3000 – RM 4000, secara tidak langsung ibubapa dapat memupuk minat berniaga, melatih anak-anak mereka berniaga sejak kecil dan memupuk sikap berdikari bagi menghasilkan pendapatan untuk sara hidup daripada mengharapkan belas ihsan orang lain. Peningkatan golongan belia dalam menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan ini dapat meningkatkan pendapatan negara. KDNK negara akan meningkat saban tahun, hasil daripada pembayaran cukai daripada aktiviti-aktiviti perniagaan yang diusahakan oleh golongan usahawan ini yang merupakan penerima BR1M.  Kelangsungan pendapatan yang berpanjangan dapat dinikmati oleh penerima BR1M sepanjang kehidupan mereka bukan hanya sekali setahun jika pemberian BR1M secara wang tunai diteruskan. 

Malah, pendapatan negara juga dapat ditingkatkan saban tahun, secara tidak langsung jumlah pendapatan yang diterima oleh kerajaan dapat dibelanjakan untuk rakyat bagi meningkatkan taraf hidup mereka melalui pertambahan penubuhan institusi-institusi pendidikan seperti sekolah-sekolah dan universiti-universiti bagi memastikan golongan muda dapat menimba ilmu pengetahuan dan memastikan mereka tidak tercicir daripada memperoleh ilmu pengetahuan yang secukupnya daripada arus pemodenan negara. Golongan belia merupakan modal insan yang paling penting kepada negara. Penubuhan hospital-hospial baru dapat mempertingkatkan kemudahan kesihatan kepada rakyat terutamanya kepada golongan warga emas dan golongan yang memerlukan. Selaras dengan slogan kerajaan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Pemberian BR1M juga boleh ditambahbaik dengan pemberian baucer kursus-kursus kemahiran. Baucer kursus-kursus kemahiran disasarkan kepada golongan belia yang bujang dan berumur 21 tahun ke atas. Pemberian baucer ini bagi menggalakkan graduan-graduan menganggur atau individu-individu yang tidak bekerja menambah kemahiran dalam diri mereka selain daripada ilmu pengetahuan yang sedia ada dalam diri yang diperoleh daripada institusi pendidikan. Kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti kemahiran menjahit, kemahiran automotif, kemahiran komputer, kemahiran memasak dan lain-lain. Kursus-kursus kemahiran ini dapat meningkatkan modal insan yang berkemahiran tinggi di Malaysia. Kemahiran-kemahiran ini juga boleh memberi nilai tambah kepada penerima-penerima BR1M untuk bersaing dengan individu lain dalam mendapatkan peluang - peluang pekerjaan yang di idamkan. Modal insan juga turut dapat ditingkatkan bagi membangunkan daya dan potensi manusia. Pembangunan modal insan merupakan elemen penting yang dapat mengubah struktur dan landskap ekonomi negara menjadi lebih kompleks, lebih berorentasikan idea, kreativiti, ilmu dan teknologi termaju walaupun sektor ekonomi tradisional terus relevan kerana kompleksnya sistem ekonomi tersebut, maka telah muncul pelbagai corak pekerjaan dan perkhidmatan baharu yang memerlukan kepelbagaian kemahiran dan pengalaman yang bersifat multi disiplin.

Selain itu, penerima BR1M juga dapat menceburkan diri dalam bidang keusahawan berdasarkan kemahiran dan latihan yang mereka pelajari seperti pembukaan restoran hasil daripada kursus kemahiran memasak yang dijalani oleh penerima BR1M. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan individu tersebut dan dapat mengurangkan daripada kebergantungan dengan bantuan kerajaan serta mengurangkan kadar pengangguran dikalangan graduan di Malaysia. 

Dipetik daripada kata-kata YAB. Tun Dr. Mahathir Mohammad:

“Produktiviti tinggi hasil daripada pendidikan dan latihan yang lebih baik. Beliau memberi contoh, seorang buruh yang bekerja secara manual semestinya tidak akan lebih produktif daripada seorang mekanik atau tukang. Mereka juga tidak akan setanding produktiviti seorang jurutera. Kemampuan meningkatkan produktiviti adalah hasil daripada peningkatan nilai tambah sesuatu produk.”

                                                                                       (Dipetik daripada klik sini)

Selain itu, baucar  kesihatan diberikan kepada penerima BR1M. Sebagaimana kita sedia maklum faktor kesihatan adalah amat penting bagi membangunkan modal insan yang berkredibiliti dan mampu berdaya saing dengan negara luar. Kesihatan yang baik dapat dinikmati oleh semua golongan, golongan belia dan warga emas.  Rakyat yang mempunyai kesihatan yang baik dapat meningkatkan produktiviti keluaran negara secara efisyen. Sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia dan mencapai guna tenaga penuh dalam ekonomi negara tanpa mengharapkan buruh warga asing. Kesihatan yang baik dikalangan rakyat Malaysia dapat meningkatkan taraf hidup sosial dikalangan rakyat Malaysia dan sekaligus mengurangkan kadar penyakit berisiko tinggi dikalangan rakyat Malaysia seperti sakit jantung, diabetes, penyakit buah pinggang dan penyakit merbahaya yang lain. Baucar kesihatan merangkumi pemeriksaan kesihatan tahunan bagi mengenalpasti tahap kesihatan rakyat Malaysia sihat dan terhidar daripada penyakit merbahaya. Rakyat sihat, peningkatan produktiviti negara. Produktiviti negara meningkat secara tidak langsung membantu pertumbuhan ekonomi negara Malaysia.

BR1M juga boleh diberikan dalam bentuk kupon makanan kepada individu bujang dan isi rumah. Kupon makanan keperluan seperti beras, tepung, gula, garam, minyak masak dan barangan keperluan asas lain boleh diberikan dalam bentuk kupon bukan dalam bentuk wang tunai. Pemberian kupon makanan kepada golongan penerima BR1M dapat menggelakkan penerima BR1M daripada membelanjakan wang berkenaan kepada perkara yang tidak sepatutnya. Bekalan makanan yang diperoleh hasil daripada pemberian BR1M dapat digunakan sebaik-baiknya, malah pendapatan lain yang diterima dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan lain. Selain itu, pemberian kupon makanan ini juga dapat menyelesaikan masalah pengusaha daripada menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya walaupun kawalan telah dilakukan.

Selain itu, pemberian BR1M boleh ditambahbaik melalui pemberian baucar pengangkutan awam dan minyak petrol. Baucar pengangkutan awam merangkumi pengangkutan bas, teksi KTM, LRT dan monorel. Baucar pengangkutan awam boleh diberikan kepada golongan belia dan warga emas yang sering menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain. Manakala baucar petrol ini dapat digunakan sepenuhnya oleh golongan yang selayaknya menerima bantuan ini, cuma bezanya baucar ini hanya digunakan di stesen minyak. Baucar untuk minyak petrol ini dapat dimaanfaatkan oleh golongan yang berpendapatan rendah sahaja sekaligus dapat meringankan beban kos pengangkutan yang ditanggung oleh mereka berbanding sebelum ini subsidi minyak diberikan kepada semua golongan malah golongan berpendapatan tinggi turut menikmatinya.


Semua pihak harus berganding bahu bagi merealisasikan idea-idea yang dibangunkan bagi penambahbaikan BR1M 5.0 pada tahun 2016 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semua lapisan masyarakat perlu anjakan paradigma dan mengembleng tenaga tanpa mengenal erti lelah bagi memiliki jumlah pendapatan isi rumah yang tinggi setanding dengan jumlah pendapatan isi rumah yang lain daripada mengharapkan belas ihsan pihak tertentu dan membebaskan diri daripada belenggu kepompong kemiskian. Pendapatan isi rumah yang tinggi sekaligus dapat meningkatkan kelangsungan hidup generasi akan datang malah dapat diwarisi. Sebahagian daripada 7.2 juta rakyat Malaysia yang menerima BR1M pada tahun 2015 dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang. Pembangunan modal insan juga merupakan elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara Malaysia, membina keupayaan dan kemahiran setiap rakyat agar sumbangan mereka kepada negara Malaysia boleh dimanfaatkan secara optimum.

Pelaburan untuk pendidikan, latihan dan mengasah bakat terbaik dikalangan rakyat Malaysia harus bersifat dinamik dan inklusif. Kerajaan perlu memperkasakan bakat dan potensi golongan professional kerana kepercayaan bahawa aset dan sumber kekuatan ekonomi kita yang terbesar kini sebenarnya adalah akal minda anak bangsa kita. Membangunkan bakat terbaik adalah suatu pelaburan jangka masa panjang tetapi impaknya juga tinggi dan berterusan, bukan sahaja kepada seseorang individu tersebut tetapi juga kepada negara. Maka apa yang kita lakukan hari ini, adalah persiapan jangkamasa panjang yang rapi yang rancak dan serius. Semuanya kerana bakat-bakat inilah yang akan menggalas harapan dan tanggungjawab memimpin perniagaan dan pembangunan ekonomi Malaysia. Ekonomi negara Malaysia juga dapat ditingkatkan saban tahun dan mengurangkan defisit kewangan negara, malah menjadi salah sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020, mampu berdaya saing dengan negara-negara luar ibarat “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” malah negara Malaysia turut disegani seluruh masyarakat dunia dan menjadi rujukan utama masyarakat luar bagi membangunkan ekonomi mereka.  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...